Monday, December 15, 2008

Bersyukur di atas segala ni'matNya yang tak terhingga...



Makan pun kena bersyukur, ya?


Bismillahi ar-Rahman ar-Rahim...

Dah lama mahu menulis artikel atau 'entry' yang sedikit berunsur ilmiah dan spiritual, tidak sekadar menceritakan kehidupan yang kujalani setiap hari di bumi permaisuri ni, tapi baru kali ni berkesempatan. Itu pun, baki masa yang ada pada hari sepatutnya digunakan untuk menelaah pelajaran. Sekejap jer, ya? Perlu segera menulis kerana idea atau ilham untuk menulis mungkin akan hilang selepas ini...
Menyebut tentang bersyukur, baru aku ketahui dan sedari betapa pentingnya Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersyukur kepadaNya. Kenapa? Kerana manusia sering lupa untuk bersyukur kepada PenciptaNya atas ni'mat yang Dia kurniakan kepada kita. Meskipun pada pada pandangan manusia lain kita telah dilimpahi dengan pelbagai ni'mat yang tidak diperolehi oleh orang lain, tetapi jika kita tidak diingatkan supaya bersyukur kepadaNya atas ni'mat tersebut, kita akan terus menganggap bahawa semua kesenangan dan kemewahan yang kita miliki ini tidak mencukupi.

Seseorang yang bergaji 10k sebulan contohnya, jika dia tidak bersyukur atas gaji yang sebanyak ini, pasti dia akan merasakan wang sejumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupannya sehari-hari. Tetapi, jika seorang kerani yang bergaji RM500 sebulan, jika dia bersyukur atas kesenangan ini, tidak mustahil jumlah sebegini mampu menampung kehidupannya setiap hari dan tidak mustahil rezekinya akan bertambah di kemudian hari.

Tapi, jangan silap dan salah faham. Bersyukur tidak mengajar kita supaya menyerah kepada takdir tanpa berusaha. Bersyukur tidak membawa maksud yang sama dalam pepatah Melayu yang berbunyi, "Beras segenggam tak akan jadi segantang". Bersyukur bermaksud kita mengingati Allah atas ni'mat yang Dia kurniakan kepada kita. Tetapi,dengan bersyukur tidak menghalang kita untuk terus meningkatkan kualiti hidup, mengubah kehidupan supaya lebih baik dan lebih senang. Bersyukur tidak menghalang kita untuk terus mencapai kesenangan dalam kehidupan. Jadilah jutawan di dunia. Jadilah seorang ilmuwan yang terbijak di dunia. Tapi bersyukurlah kepadaNya. Kerana semua ni'mat itu kurniaanNya kepada hamba-hambaNya. Kita terlalu kecil, dan teramat kecil pada 'pandangan' Allah jika ingin mendabik dada dengan kemewahan dan kelebihan yang kita ada...Astaghfirullahal a'zim.

Bersyukur kepadaNya tidak sekadar melafazkan Alhamdulillah (Segala puji-pujian bagiNya) atau mengucapkan "Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, di atas ni'mat yang Engkau kurniakan ini". Tetapi rasa syukur juga perlu dijelmakan melalui perbuatan. Meningkatkan kualiti ibadah kita kepadaNya juga dianggap tanda kita bersyukur kepdaNya. Tanda kita tidak lupa kepadaNya dalam apa jua keadaan, baik dalam keadaan senang mahupun susah. Rasa bersyukur boleh dihayati dalam doa sebelum makan yang mana sejak kecil lagi kita sudah diajar dan setelah besar insha-Allah akan terus mengamalkannya, yang bermaksud, "Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan ke atas kami dan jauhilah kami dari azab api neraka".

Bersyukur juga boleh dijelmakan melalui sifat kasihan belas kita terhadap saudara kita yang lain, sama ada dengan menghulurkan bantuan berbentuk kewangan mahupun tenaga. Mengeluarkan zakat dan berderma juga menandakan tanda kita mengingatiNya sebagai Pencipta Kita dan mengeluarkan sebahagian rezeki yang Allah kurniakan kepada kita kepada hamba-hambaNya yang lain. Bersyukur juga boleh diperlihatkan melalui cara kita mengurus dan membelanjakan harta kita. Tidak boros, berpada-pada, berbelanja mengikut keperluan dan berpadanan dengan kemampuan kita.

Jadi, janganlah kita merungut atas kesusahan yang kita tempuhi, kerana di sana terlalu banyak, malah tidak terhitung ni'mat yang Allah kurniakan kepada kita. Janganlah kita merungut atas perkara yang kita tidak perolehi, kerana saudara kita yang lain mungkin mencemburi ni'mat dan kesenangan yang kita sedang ni'mati tetapi kita tidak mensyukurinya, malah merungut di atas ni'mat tersebut, Astghfirullahal a'zim (Ampunilah dosa-dosa hambaMu ini yang sedemikian besar dan banyak, ya Allah). Dan, antara yang paling penting, senantiasalah mengingatiNya di setiap tempat dan keadaan, terutamanya di waktu kita dilimpahi dengan segala bentuk kemewahan dan kesenangan, sebagai tanda bersyukurnya kita kepadaNya dan di atas ni'mat yang dia kurniakan. Kita selaku hamba-hambaNya yang lemah, malah begitu tipis imannya senipisnya kulit bawang begitu mudah lupa mengingatiNya bila dikurniakan sebegitu banyak ni'mat dan kesenangan. Tetapi kita begitu pantas kembali kepadaNya jika didatangkan kesusahan dan rintangan dalam kehidupan. Benarlah kata-kata Allah di dalam kitab suciNya, yang bermaksud,
"Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk Neraka." (Surah Az-Zummar: 8)

Jadilah kita seperti Nabi Sulaiman alahi salam, apabila didatangkan ni'mat di hadapannya, yakni apabila istana Puteri Balqis dihadapkan di hadapannya oleh Ifrit dengan sekelip mata, baginda dengan tunduk dan khusyuk berkata, "Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (Surah An-Naml:40)

"Ya, Allah, jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa mensyukuri ni'mat yang Engkau kurniakan ke atas kami, dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa mengingatiMu baik dalam keadaan senang mahupun susah, ampunilah dosa-dosa kami, ya Allah dan jauhilah kami ya Allah dari azab api neraka yang amat pedih. Amin, ya Rabbal A'lamin (Amin, wahai Tuhan, Pencipta sekian alam semesta)..."

No comments: