"Hidup ini dipenuhi dengan pelbagai liku. Liku-liku dan cabaran kehidupan didatangkan kepada kita, untuk menguji sejauh mana keimanan dan kekuatan pegangan kita terhadapNya"
Friday, May 9, 2008
Musim bunga telah bermula...
Sunday, February 10, 2008
Ya Allah, rahmatillah kedua ibu bapaku!
Saya baru sahaja 'surf' blog Mohd Fauzi Haji Abu Hussein, rakan satu 'bash' saya di APIUM NP dan KL. Satu Akademi, tapi berlainan jabatan. Fauzi di Jabatan Syariah dan Ekonomi, sementara saya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam. Sekarang, Fauzi bersama keluarganya di Durham, melanjutkan pengajian peringkat PhD di Durham University. Fauzi ke UK lebih awal dari saya. Dia datang dalam awal tahun 2007, kalau tak silap saya mungkin dalam bulan Mac. Sementara saya datang pada akhir tahun 2007, dalam bulan Oktober.
Sekarang Fauzi dan zaujahnya (isterinya) dah bergelar 'abati' dan ummi. Mereka menerima kelahiran cahaya mata sulung pada 21 Januari 2008. Seorang puteri, bernama Nashwa binti Mohd Fauzi. Perkembangan tentang mereka saya ketahui melalui blog mereka, yang diusahakan oleh isteri Fauzi, Dr. Adlina.
Turut rasa gembira dengan kelahiran cahaya mereka. Tapi, saya jadi rasa terharu, amat-amat terharu bila melihat (melalui blog mereka) kedatangan kedua orang tua Fauzi ke UK, semata-mata nak menyambut kelahiran cucu mereka. Pastinya Fauzi dan Adlina belum biasa dan sedikit kekok dalam menerima kelahiran cahaya mata pertama mereka. Apatah lagi mereka menghadapi saat getir ini ketika berada di perantauan, dan tentunya memerlukan sokongan dan bantuan dari ahli keluarga yang lebih berpengalaman. Melihatkan kesanggupan kedua orang tua Fauzi ke UK, membuatkan saya hampir menitiskan air mata, mengenangkan akan kesanggupan kedua ibubapa kita untuk bersama-sama anak-anak mereka, baik dalam keadaan susah atau senang.
Jika saya yang berada di situasi Fauzi atau Adlina, saya berani jamin 'ayah' dan chek akan datang ke UK untuk melihat 'cucu'nya. Ini dah terbukti bila kakak saya, K.Na (Adlina) melahirkan anak sulungnya dahulu. Ayah dan chek sanggup datang dari jauh, semata-mata untuk bersama-sama menyambut kelahiran cucunya dari anaknya yang ketiga ini. Rasanya ayah dan chek datang lebih awal, dan sempat bersama K.Na semasa dia melahirkan Amal Hayati. Ayah dan chek bukannya muda lagi. Rasanya pada waktu itu, Ayah telah mencecah umur pertengahan 60an dan chek di akhir 50an. Dan Ayah bukannya sentiasa senang dan lapang masa setiap masa. Kerja-kerja pejabat, kerja-kerja parti dan jemaah sentiasa memenuhi masa dia. Begitu juga dengan chek. Meskipun tidak seaktif ayah, tapi aktiviti di rumah tak pernah ada hentinya. Ada sahaja perkara yang perlu dilakukan dan dibereskan. Namun, bagi ayah dan chek, bila ada urusan keluarga yang perlu didahulukan, ayah dan chek tanpa teragak-agak meninggalkan urusan lain dan mendahulukan urusan keluarga. Subhanallah.
Semenjak saya menjejakkan kaki di sini, Ayah tak pernah 'fail' dari menghubungi saya setiap hujung minggu. Perkara yang sama beliau lakukan semasa saya mengikuti pengajian MA di sini dulu. Malahan, semasa saya bekerja di UTP, paling kurang ayah akan menghubungi saya sekali sehari. Selain bertanyakan khabar, juga bertanyakan urusan saya untuk ke UK nanti. Pengorbanan dan perhatian mereka lebih terbukti apabila mereka bersusah-payah menguruskan dan menjaga saya di hospital, sewaktu saya terlibat dengan kemalangan kecil berdekatan Plaza Rakyat, Jalan Pudu setahun setengah yang lalu (November 2006). Ayah begitu prihatin menguruskan keadaan saya sewaktu saya ditempatkan di Hospital KL. Walaupun perasaan kerisauannya tidak terjelma melalui air muka, tapi terpampang jelas melalui tindak-tanduknya. Sementara itu, cheklah yang menjaga dan menunggu saya, selama seminggu saya berada di HKL. Adik-beradik lain tidak dapat membantu sepenuh masa, kerana masing-masing terikat dengan pekerjaan dan hal keluarga sendiri. Merekalah yang berada di sisi saya di waktu saya susah, tanpa saya melupakan perhatian dan pertolongan yang dihulurkan oleh adik-beradik, saudara-mara (bapa dan ibu saudara, sepupu) dan rakan-rakan saya yang lain.
Nah, inilah ibu dan bapa yang saya miliki. Dan saya percaya, secara umumnya, inilah sikap yang ditunjukkan oleh para ibu bapa kepada anak-anaknya. Merekalah yang bersama dengan kita, semasa kita dilanda kesusahan. Mereka tidak pernah merungut walau sedikit pun, atas apa yang mereka lakukan. Malahan, mereka tidak sedikit pun mengharapkan sebarang balasan mahupun ganjaran. Cukuplah bagi mereka agar kita menghormati mereka sebagai ibu bapa dan mengingati mereka di waktu kita senang.
Ya. Ibu bapa berada bersama-sama kita sewaktu kita susah. Tetapi, di waktu kita senang, adakah kita mengingati dan bersama mereka sebagaimana kita mahukan mereka berada bersama kita di waktu kita susah? Kita mudah lupa atau lupa diri bahawa di sebalik kejayaan kita, ada orang lain yang memberikan sokongan kepada kita. Kita menganggap kejayaan yang kita miliki adalah kejayaan kita yang mutlak. Sedangkan, tak mungkin kita mencapai semua ini tanpa sokongan dan dorongan dari orang lain, lebih-lebih lagi dari kedua ibu bapa kita. Dengan sikap demikian, rasa hormat kita kepada mereka mula mengurang. Kita sudah tidak lagi segan meninggikan suara mahupun mengambil sikap tidak endah atas apa jua permintaan mereka. Di waktu ini, kita menganggap bahawa kita lebih baik dan tinggi dari mereka. Dengan pangkat, kekayaan dan kebahagiaan yang kita miliki itu menyebabkan kita tidak lagi memerlukan mereka.
Tapi, ibu bapa tidak akan merungut jika anak-anak mereka bersikap demikian. Paling kurang, mereka hanya akan mengeluh di belakang. Tapi, untuk menyisihkan anak-anak dari hidup mereka, tidak sekali-kali. Mereka akan kembali kepada anak-anak jika anak-anak kembali memerlukan bantuan mereka.
Oleh itu, bersama-samalah kita bermuhasabah dan menilai diri kita sendiri. Sejauh mana kita memberikan penghormatan kepada kedua ibu bapa kita, meskipun di waktu kita sendiri telah bergelar ibu atau bapa. Sejauh mana kita boleh merendahkan diri di hadapan mereka, walaupun kita bergelar Prof, Prof Madya, Dr.,Dato' atau Tan Sri. Sejauh mana kita dapat memenuhi kehendak dan permintaan mereka, di waktu kita disibukkan dengan pelbagai urusan dunia.
Nilailah diri kita balik, dan kembalikanlah diri kita supaya menjadi anak yang soleh atau solehah. Hormatilah mereka walau di puncak mana sekalipun kita berada, luangkanlah sedikit masa untuk mereka walau sesibuk mana kita pun dengan urusan-urusan dunia. Sesungguhnya sedikit usaha yang kita lakukan ini tak mungkin dapat mengatasi pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Tapi, dengan usaha yang sedikit inilah kita akan memperoleh keberkatan dalam kehidupan dan setiap urusan kita. Kerana kita tidak akan mendapat keredhaan dariNya, jika kita tidak mendapat keredhaan dari kedua ibu bapa kita. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan ALlah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa".
Hormatilah mereka dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita. Sama-samalah kita berdoa, agar ALlah mengampunkan dosa-dosa kita, dan dosa-dosa kedua ibu bapa kita. Serta agar Allah merahmati mereka, sebagaimana mereka mengasihi dan mendidik kita semasa kecil. Dan agar kita dan mereka dihindari dari azab api neraka di akhirat kelak...Amin...
Saturday, November 17, 2007
Mula rasa tak sihat....
Friday, November 9, 2007
Panorama di sekitar University of Birmingham
Situasi di Birmingham, UK
Tapi, masalah timbul bila pulang ke rumah. Mulalah digoda dengan macam-macam benda, internetlah (yang ni paling utama!), tv (tapi sebenarnya jarang menonton tv di sini) dll. Kadang-kadang, boleh mengadap internet hampir 4 jam, tanpa sentuh sikit pun buku...! Hmm...sungguh menggerunkan. Cuma, kadang-kadang saya tak begitu memaksa diri. Kalau dah penat mengadap buku dan pelajaran sebelah siang, malam kenalah rehat. Otak masih perlu digunakan untuk esok hari pula. Tapi, kalau waktu rehat melebihi waktu belajar, ada benda yang tak kena ni! Sesuatu tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah ni.
Pengajian peringkat kedoktoran ni memang memakan masa yang lama, walaupun 3 tahun (mininum tempoh pengajian) sebenarnya tidak cukup. Saya perlu gunakan kekuatan yang ada dengan sebaik mungkin, biar dapat menamatkan 'larian' ni dengan baik, bukan hanya sekerat jalan sebab dah kehabisan tenaga. Banyak lagi yang saya perlu pelajari dan tempuhi. Mungkin ini hanya satu permulaan...
Monday, October 29, 2007
Dari musim luruh ke musim sejuk
Thursday, October 18, 2007
Di sinilah tempatku bermula...
Di sinilah tempatku bermula
Menimba ilmu milik yang Esa
Buat bekalan dunia
Akhirat jua tidak dilupa
Petikan lirik nasyid dari lagu sumbangsih..
Ya, di sinilah tempatku bermula..Maksudnya di sini tempat saya memulakan langkah awal di peringkat PhD sebelum sampai ke langkah terakhir.
Alhmdulillah, dengan izin Allah, saya sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Birmingham. Kali ini dengan misi berbeza, untuk meneruskan pengajian di peringkat seterusnya. Hari ini, 17 Oktober 2007, genap 10 hari saya berada di bumi 'orang puteh'. Rasa macam bermimpi pun ada, terasa seolah-olah berada di kayangan atau terawang-awang di udara apabila mula-mula menjejakkan kaki di sini, minggu lepas. Namun, Alhamdulillah, tidak ada masalah yang berat ditempuh. Dengan ditemani ibu, ayah dan abang, saya mula menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.
Hanya tempoh seminggu sahaja yang saya ada sebelum bertolak ke UK pada 9 Oktober 2007, 3,4 hari sebelum Eidulfitri. Memang penat, rasa seperti tak hilang penat dan lelah. Selepas satu perkara, satu perkara datang. Tapi, Alhamdulillah, seminggu berada di rumah terasa agak lama. Terasa terisi masa, walaupun kalut sebenarnya. Dan Alhamdulillah, sempat juga bertemu dengan kakak sulung sefamili. Kakak balik ke Kota Bharu, semata-mata untuk berjumpa saya sebelum saya berangkat ke UK.
Sehari sebelum bertolak, ayah tiba-tiba diserang demam. Tekanan darah ayah turun mendadak dan terpaksa berbuka puasa lebih awal. Risau juga, tak dapat pergi juga ke ayah. Tapi, Alhamdulillah, ayah pulih sedikit dan dan juga ke sana. Cuma tak boleh banyak bergerak.
Dan pada 9 Oktober, selepas transit di Dubai dan tiba di Birmingham International Airport, terus ke tempat rumah sewa dan tinggalkan barang di sana. Dan seminggu bersama ayah, chek dan Wa (abang) di UK, banyak perkara dapat diselesaikan. Hanya tinggal perkara-perkara yang kecil. Kalau saya datang seorang, terkapai-kapai dibuatnya. Dan pada 16 Oktober, mereka kembali ke Malaysia. Sedih juga dibuatnya, tetapi terpaksa gagahkan hati. Dan bila mereka dah sampai di Malaysia, saya lebih rasa senang dan lapang. Tugas ayah dan chek sudah selesai buat masa ini. Tak perlu lagi mereka kerahkan kudrat dan tenaga untuk berjalan jauh. Ini lebih baik bagi saya, dari membiarkan mereka lebih penat dan lelah berada di negeri orang.
Harap, perjalanan saya seterusnya di sini akan berjalan dengan baik. Segala permasalahan dapat ditangani, dan segala urusan dipermudahkanNya. Banyak cabaran yang perlu dan akan ditempuh, tapi semoga langkah pertama yang bermula akan berakhir dengan langkah yang terakhir dengan baik.
Wallahu a'lam.