Saturday, November 17, 2007

Mula rasa tak sihat....


Dua tiga hari ni, badan mula rasa tak sedap. Asyik bersin, sakit tekak, berat mata. Tanda-tanda nak demam. Kalau sebelum ni, rasa agak lega sebab tubuh badan sihat, boleh bergerak walaupun selalu tak makan tengah hari. Tapi, mungkin sebab asyik masak dan makan makanan yang agak 'kering' (kari, kurma, makanan bergoreng), tekak dah rasa tak selesa. Apa yang saya lakukan, ubah semua menu makan, banyakkan minum air panas, makan makanan bersup sahaja dan kurangkan makanan berminyak. Ini yang selalu saya amalkan kalau saya mula rasa demam, sakit tekak atau batuk.

Dua hari lepas agak teruk sikit, selepas makan malam, rasa macam nak muntah. Tapi makanan tak keluar pun. Mungkin badan nak terima makanan, tapi tekak terasa macam nak muntahkan balik. Semalam, mula terasa panas badan, terutamanya dahi. Tambahan pula dah dua hari tak buang air besar. Memang terasa tubuh macam tak seimbang. Tapi, Alhamdulillah, selepas makan nasi dengan sup sayur pagi tadi, dah dapat buang air besar. Badan pun dah kembali panas. Tak lagi seram sejuk. Cuma batuk sahaja yang makin menjadi-jadi, walaupun sudah minum air (buah) kembang semangkuk dan 'getah anggur' (bawa dari Malaysia) dan makan ubat Shaklee, masih tak menjadi. Kalau melarat, nampaknya kena pergi jumpa doktor minggu depan.

Tapi, tak dinafikan, tubuh saya mungkin agak lemah, sebab tu mudah jatuh sakit. Tak taulah kenapa sejak akhir-akhir ni, tubuh agak 'fragile'. Dulu semasa di sekolah menengah dan di UM agak jarang sakit. Tapi, sekali sakit memang teruk. Kalau selsema saya tak begitu runsing, tapi kalau batuk memang saya agak tak 'gemar'. Sebab batuk yang saya alami, biasanya mengambil masa yang agak lama untuk sembuh.

Tahun lepas lagi teruk. Selepas saya mula bekerja di UTP, disebabkan masih tak biasa dengan alam pekerjaan, saya tak cukup rehat dan selalu penat selepas balik dari pejabat. Kesannya, hampir setiap bulan atau dua bulan sekali saya mesti diserang penyakit 'batuk'. Cukup pedih dan sakit menanggungnya. Apatah lagi jika batuk ketika tengah memberikan kuliah. Tapi, Alhamdulillah, selepas saya ditimpa kemalangan kecil akhir tahun lepas juga (Oktober 2006), agak lama juga untuk saya diserang apa-apa penyakit. Sekali lagi saya diuji. Tak tau di mana silapnya. Tapi mungkin kerana banyak makan makanan yang berminyak, kurang minum air, ditambah dengan cuaca di Birmingham yang semakin sejuk. Saya pula sanggup tak makan tengah hari semata-mata nak tumpukan pada pelajaran. Hmmm...inilah kesanya. Harap batuk dan selsema ni tak melarat, Insha-Allah.

Friday, November 9, 2007

Panorama di sekitar University of Birmingham




Sedikit panorama di sekitar universiti. Tak banyak gambar yang diambil, mungkin sebab dah agak biasa dengan keadaan di sini. Tapi, bila dah balik M'sia nanti, rasanya menyesal juga sebab tak banyak ambil gambar di sini. Untuk dikongsi bersama...

Situasi di Birmingham, UK

Salam...


Semalam, dah genap sebulan saya berada di Birmingham. Cepat dan pantas masa berlalu. Dan dalam masa yang sama, banyak perkara yang kena buat. Dan masih dalam proses menyesuaikan diri, menukar rentak dari seorang pengajar kembali kepada pelajar. Target saya, sebolah-bolehnya dalam sehari perlu membaca dan mengadap buku atau pengajian selama 5 atau 8 jam! (Hmm...very ambitious...boleh ke?). Setakat ni bolehlah, dari pukul 11 pagi hingga pukul 3 atau 4 petang, saya akan ke perpustakaan berdekatan dengan fakulti (Orchard Learning Resources Centre). Sebab sekarang pukul 4 atau 4.30 petang dah mulai gelap, jadi cukuplah 4 atau 5 jam berada di sana (walaupun belajar mungkin dalam 3 atau 4 jam sahaja!).


Tapi, masalah timbul bila pulang ke rumah. Mulalah digoda dengan macam-macam benda, internetlah (yang ni paling utama!), tv (tapi sebenarnya jarang menonton tv di sini) dll. Kadang-kadang, boleh mengadap internet hampir 4 jam, tanpa sentuh sikit pun buku...! Hmm...sungguh menggerunkan. Cuma, kadang-kadang saya tak begitu memaksa diri. Kalau dah penat mengadap buku dan pelajaran sebelah siang, malam kenalah rehat. Otak masih perlu digunakan untuk esok hari pula. Tapi, kalau waktu rehat melebihi waktu belajar, ada benda yang tak kena ni! Sesuatu tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah ni.


Pengajian peringkat kedoktoran ni memang memakan masa yang lama, walaupun 3 tahun (mininum tempoh pengajian) sebenarnya tidak cukup. Saya perlu gunakan kekuatan yang ada dengan sebaik mungkin, biar dapat menamatkan 'larian' ni dengan baik, bukan hanya sekerat jalan sebab dah kehabisan tenaga. Banyak lagi yang saya perlu pelajari dan tempuhi. Mungkin ini hanya satu permulaan...

Monday, October 29, 2007

Dari musim luruh ke musim sejuk


Bismillahi al-Rahman al-Rahim


Hari ini, genap tiga minggu saya berada di Birmingham. Masih dalam proses menyesuaikan diri, mencari dan meletakkan tapak dalam arena penyelidikan. Disebabkan saya mengambil PhD beserta 'taught course' beban kerja terasa sikit banyak. Menyiapkan assignment, presentation dan persiapan untuk peperiksaan, sementara dalam masa yang sama mula melakukan kerja-kerja penyelidikan (research). Kajian masih bersifat kerangka, terbuka cenderung ke mana-mana cabang dan bahagian. Wallahu a'lam, harap dipermudahkanNya segala urusan.


Hari ini, bermula musim sejuk. Jam telah dilewatkan sejam, selaras dengan keadaan cuaca. Matahari lambat terbit tetapi cepat terbenam. Pukul 8 pagi masih kelam, tetapi pukul 5 petang telah mulai gelap. Suhu juga bertambah sejuk. Jika berjalan di luar rumah, seolah-seolah seperti berjalan di dalam 'air-condition' terbuka, tetapi lebih sejuk lagi. Kalau boleh, nak mahu keluar dari rumah. Sekadar terperap di dalam rumah. Tapi tugasan di luar tetap perlu terus diteruskan. Cabaran ini masih terlalu kecil, berbanding mereka yang belajar dan juga berkeluarga. Belajar, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga. Mungkin inilah yang terbaik untuk saya, buat masa sekarang.


Insha-Allah, siri seterusnya, saya akan ceritakan tentang keadaan pengajian di sini, dan juga apa jua perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama.


Wallahu a'lam.

Thursday, October 18, 2007

Di sinilah tempatku bermula...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang


Di sinilah tempatku bermula

Menimba ilmu milik yang Esa

Buat bekalan dunia

Akhirat jua tidak dilupa



Petikan lirik nasyid dari lagu sumbangsih..


Ya, di sinilah tempatku bermula..Maksudnya di sini tempat saya memulakan langkah awal di peringkat PhD sebelum sampai ke langkah terakhir.


Alhmdulillah, dengan izin Allah, saya sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Birmingham. Kali ini dengan misi berbeza, untuk meneruskan pengajian di peringkat seterusnya. Hari ini, 17 Oktober 2007, genap 10 hari saya berada di bumi 'orang puteh'. Rasa macam bermimpi pun ada, terasa seolah-olah berada di kayangan atau terawang-awang di udara apabila mula-mula menjejakkan kaki di sini, minggu lepas. Namun, Alhamdulillah, tidak ada masalah yang berat ditempuh. Dengan ditemani ibu, ayah dan abang, saya mula menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.


Hanya tempoh seminggu sahaja yang saya ada sebelum bertolak ke UK pada 9 Oktober 2007, 3,4 hari sebelum Eidulfitri. Memang penat, rasa seperti tak hilang penat dan lelah. Selepas satu perkara, satu perkara datang. Tapi, Alhamdulillah, seminggu berada di rumah terasa agak lama. Terasa terisi masa, walaupun kalut sebenarnya. Dan Alhamdulillah, sempat juga bertemu dengan kakak sulung sefamili. Kakak balik ke Kota Bharu, semata-mata untuk berjumpa saya sebelum saya berangkat ke UK.

Sehari sebelum bertolak, ayah tiba-tiba diserang demam. Tekanan darah ayah turun mendadak dan terpaksa berbuka puasa lebih awal. Risau juga, tak dapat pergi juga ke ayah. Tapi, Alhamdulillah, ayah pulih sedikit dan dan juga ke sana. Cuma tak boleh banyak bergerak.

Dan pada 9 Oktober, selepas transit di Dubai dan tiba di Birmingham International Airport, terus ke tempat rumah sewa dan tinggalkan barang di sana. Dan seminggu bersama ayah, chek dan Wa (abang) di UK, banyak perkara dapat diselesaikan. Hanya tinggal perkara-perkara yang kecil. Kalau saya datang seorang, terkapai-kapai dibuatnya. Dan pada 16 Oktober, mereka kembali ke Malaysia. Sedih juga dibuatnya, tetapi terpaksa gagahkan hati. Dan bila mereka dah sampai di Malaysia, saya lebih rasa senang dan lapang. Tugas ayah dan chek sudah selesai buat masa ini. Tak perlu lagi mereka kerahkan kudrat dan tenaga untuk berjalan jauh. Ini lebih baik bagi saya, dari membiarkan mereka lebih penat dan lelah berada di negeri orang.

Harap, perjalanan saya seterusnya di sini akan berjalan dengan baik. Segala permasalahan dapat ditangani, dan segala urusan dipermudahkanNya. Banyak cabaran yang perlu dan akan ditempuh, tapi semoga langkah pertama yang bermula akan berakhir dengan langkah yang terakhir dengan baik.

Wallahu a'lam.

Tuesday, July 17, 2007

Liku-liku kehidupan (Satu)


Salam sejahtera buat semua...


Blog ini saya perkenalkan untuk menceritakan pengalaman dan liku-liku hidup saya yang telah dan bakal ditempuh. Juga sekiranya saya diizinkan Allah untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara (pada tahun ini), blog ini akan menjadi ruang untuk menceritakan segala pengalaman dan liku-liku kehidupan yang bakal saya tempuhi dalam bergelar seorang pelajar.


Alhamdulillah, setelah menempuh proses mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang memakan masa hampir setahun, kini proses ini telah hampir membuahkan hasil. Jika tiada aral-melintang, Insha-Allah surat tawaran penuh untuk melanjutkan pelajaran dari UM dan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) bakal diperolehi dalam minggu ini atau minggu hadapan.
Sekurang-kurangnya perkara yang besar telah hampir selesai, Insha-Allah. Namun, masih banyak lagi proses / cabaran yang perlu ditempuh. Surat perletakan jawatan yang perlu dikemukakan, menghabiskan pengajaran dengan cara yang terbaik, mendapatkan visa, rumah sewa di sana dll. Tak mengapalah, yang tu tak perlu fikir lagi. Buat masa sekarang, perlu tumpukan kerja yang ada di depan mata, sehingga surat tawaran penuh dikeluarkan oleh UM.

Harap semua proses nanti akan berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala urusan dan dapat ditangani dengan baik. Hidup ini memang dipenuhi dengan liku-liku dan cabaran, untuk menguji kita sejauh mana kuatnya ikatan dan pegangan kita terhadapNya.

Wallahu a'lam.