Wednesday, March 15, 2023

Selesai sudah beberapa perkara




Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang


Alhamdulillah, urusan untuk ke luar negara semakin hampir ke penghujung. Banyak dah yang telah selesai, tinggal beberapa perkara sahaja yang perlu diselesaikan kemudian. Memang banyak cabaran dan mehnah yang terpaksa ditempuhi.



Jika sebelum ni saya ada memberitahu, saya perlu mendapatkan surat tawaran penuh dari UM, Alhamdulillah, surat tersebut diterima dalam pertengahan bulan Julai. Setelah selesai memberikan maklum balas (mengisi borang perjanjian, dan beberapa borang lain), ingatkan surat dari KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) akan diperolehi dalam akhir atau awal Ogos. Satu lagi dugaan yang perlu dilalui. Saya perlu ambil ujian Bahasa Inggeris (IELTS) untuk melengkapi syarat dari KPT, sebelum mendapat surat tawaran dari mereka. Subhanallah, ibarat satu batu besar diletakkan di tengah jalan yang perlu dialihkan atau dipecahkan, sebelum saya dapat melalui jalan tersebut. Namun, Alhamdulillah, setelah mendaftar pada 11 Ogos dan mengambil ujian tersebut pada 25 Ogos (untuk 'listening, reading and writing") dan 22 Ogos untuk 'speaking', keputusan diperolehi dan agak memberangsangkan. Berbaloilah penat-lelah membuat latihan setiap malam sebelum tu.


Namun, cabaran tak berakhir di situ. Setelah mendapat surat tawaran KPT pada 14 September, saya 'on-spot' terpaksa ambil cuti 2 hari untuk selesaikan urusan seterusnya (mendapatkan saksi untuk borang perjanjian, membeli setem hasil, pemeriksaan kesihatan dll). Mujurlah ada kakak dan abang ipar yang sudi membantu, membawa saya ke tempat-tempat tersebut. Dan keesokan harinya bertolak ke KB, untuk memperbaharui passport bagi membolehkan saya memohon visa pelajar untuk tempoh 3 atau 4 tahun. Selesai memperbaharui passport di Kota Bharu, bertolak ke KL malam tersebut dan membuat permohonan visa, berpusat di Wisma MCA, Jln Ampang. Berdebar juga sebab bimbang permohonan ditolak. Dan selesai sahaja urusan ni, ke UM sekejap untuk membuat penukaran tarikh tiket ke Birmingham dan beberapa dokumen perlu diserahkan dan mendapatkan pengesahan di Bahagian Sumber Manusia. Seminggu kemudian, (24 September) ke Wisma MCA sekali lagi untuk mendapatkan visa dan Alhamdulillah, permohonan visa diluluskan. Maka, langkah seterusnya untuk urusan tiket dan menyewa rumah di sana. Kiranya, urusan ini sudah menghampiri ke penghujungnya.


Kadang-kadang, saya sendiri pun tak tahu, macam mana saya boleh menempuh semua ini. Memang memenatkan, mendapat tekanan yang hebat. Tapi mungkin ini kecil sahaja. Dan kita akan merasai manis dan ni'matnya keputusan di akhirnya, setelah semua ini berjaya ditempuhi. Cuma, dalam menempuh semua ini, ada beberapa perkara yang saya berpegang teguh. Pertamanya, jangan stress. Tenang-tenang selalu. Kedua, fikirkan jalan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Dan ketiganya, banyakkan berdoa dan mengingati Allah, agar segala urusan kita dipermudahkanNya. Namun, saya akui, tanpa sokongan, bantuan dari keluarga dan rakan-rakan, tak mungkin saya dapat lakukan semua ini, dalam keadaan saya masih bekerja dan terpaksa datang ke KL dari Tronoh hampir setiap hujung minggu. Namun, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Diharapkan agar segala yang dilakukan ini mendapat keberkatan dan rahmat dariNya...