Monday, October 29, 2007

Dari musim luruh ke musim sejuk


Bismillahi al-Rahman al-Rahim


Hari ini, genap tiga minggu saya berada di Birmingham. Masih dalam proses menyesuaikan diri, mencari dan meletakkan tapak dalam arena penyelidikan. Disebabkan saya mengambil PhD beserta 'taught course' beban kerja terasa sikit banyak. Menyiapkan assignment, presentation dan persiapan untuk peperiksaan, sementara dalam masa yang sama mula melakukan kerja-kerja penyelidikan (research). Kajian masih bersifat kerangka, terbuka cenderung ke mana-mana cabang dan bahagian. Wallahu a'lam, harap dipermudahkanNya segala urusan.


Hari ini, bermula musim sejuk. Jam telah dilewatkan sejam, selaras dengan keadaan cuaca. Matahari lambat terbit tetapi cepat terbenam. Pukul 8 pagi masih kelam, tetapi pukul 5 petang telah mulai gelap. Suhu juga bertambah sejuk. Jika berjalan di luar rumah, seolah-seolah seperti berjalan di dalam 'air-condition' terbuka, tetapi lebih sejuk lagi. Kalau boleh, nak mahu keluar dari rumah. Sekadar terperap di dalam rumah. Tapi tugasan di luar tetap perlu terus diteruskan. Cabaran ini masih terlalu kecil, berbanding mereka yang belajar dan juga berkeluarga. Belajar, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga. Mungkin inilah yang terbaik untuk saya, buat masa sekarang.


Insha-Allah, siri seterusnya, saya akan ceritakan tentang keadaan pengajian di sini, dan juga apa jua perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama.


Wallahu a'lam.

Thursday, October 18, 2007

Di sinilah tempatku bermula...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang


Di sinilah tempatku bermula

Menimba ilmu milik yang Esa

Buat bekalan dunia

Akhirat jua tidak dilupa



Petikan lirik nasyid dari lagu sumbangsih..


Ya, di sinilah tempatku bermula..Maksudnya di sini tempat saya memulakan langkah awal di peringkat PhD sebelum sampai ke langkah terakhir.


Alhmdulillah, dengan izin Allah, saya sekali lagi menjejakkan kaki di bumi Birmingham. Kali ini dengan misi berbeza, untuk meneruskan pengajian di peringkat seterusnya. Hari ini, 17 Oktober 2007, genap 10 hari saya berada di bumi 'orang puteh'. Rasa macam bermimpi pun ada, terasa seolah-olah berada di kayangan atau terawang-awang di udara apabila mula-mula menjejakkan kaki di sini, minggu lepas. Namun, Alhamdulillah, tidak ada masalah yang berat ditempuh. Dengan ditemani ibu, ayah dan abang, saya mula menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.


Hanya tempoh seminggu sahaja yang saya ada sebelum bertolak ke UK pada 9 Oktober 2007, 3,4 hari sebelum Eidulfitri. Memang penat, rasa seperti tak hilang penat dan lelah. Selepas satu perkara, satu perkara datang. Tapi, Alhamdulillah, seminggu berada di rumah terasa agak lama. Terasa terisi masa, walaupun kalut sebenarnya. Dan Alhamdulillah, sempat juga bertemu dengan kakak sulung sefamili. Kakak balik ke Kota Bharu, semata-mata untuk berjumpa saya sebelum saya berangkat ke UK.

Sehari sebelum bertolak, ayah tiba-tiba diserang demam. Tekanan darah ayah turun mendadak dan terpaksa berbuka puasa lebih awal. Risau juga, tak dapat pergi juga ke ayah. Tapi, Alhamdulillah, ayah pulih sedikit dan dan juga ke sana. Cuma tak boleh banyak bergerak.

Dan pada 9 Oktober, selepas transit di Dubai dan tiba di Birmingham International Airport, terus ke tempat rumah sewa dan tinggalkan barang di sana. Dan seminggu bersama ayah, chek dan Wa (abang) di UK, banyak perkara dapat diselesaikan. Hanya tinggal perkara-perkara yang kecil. Kalau saya datang seorang, terkapai-kapai dibuatnya. Dan pada 16 Oktober, mereka kembali ke Malaysia. Sedih juga dibuatnya, tetapi terpaksa gagahkan hati. Dan bila mereka dah sampai di Malaysia, saya lebih rasa senang dan lapang. Tugas ayah dan chek sudah selesai buat masa ini. Tak perlu lagi mereka kerahkan kudrat dan tenaga untuk berjalan jauh. Ini lebih baik bagi saya, dari membiarkan mereka lebih penat dan lelah berada di negeri orang.

Harap, perjalanan saya seterusnya di sini akan berjalan dengan baik. Segala permasalahan dapat ditangani, dan segala urusan dipermudahkanNya. Banyak cabaran yang perlu dan akan ditempuh, tapi semoga langkah pertama yang bermula akan berakhir dengan langkah yang terakhir dengan baik.

Wallahu a'lam.